Muhammad Jabir As-Sambasi Khatib Sidana Kerajaan Sambas

Muhammad Jabir As-Sambasi Khatib Sidana Kerajaan Sambas
Muhammad Jabir As-Sambasi Khatib Sidana Kerajaan Sambas
Muhammad Jabir As-Sambasi Khatib Sidana Kerajaan Sambas

DALAM kerajaan Melayu yang sedemikian banyak di dunia Melayu, hanya di kerajaan Sambas di Kalimantan petugas-petugas penting kerajaan yang menangani Islam digelar 'Maharaja Imam', 'Imam Maharaja', 'Imam', 'Khatib Sidana' dan 'Khatib'.Di antara istilah-istilah itu ada yang telah wujud sejak tahun 1186 H/1772 M.

Jawatan Maharaja Imam Sambas berakhir pada tahun 1976 iaitu setelah wafat Maharaja Imam Syeikh Muhammad Basiyuni Imran. Ulama ini adalah anak saudara ulama yang diriwayatkan dalam artikel ini.

Diriwayatkan Imam Kerajaan Sambas yang pertama bernama Haji Mushthafa Nuruddin yang dilantik oleh Sultan Muhammad Ali Shafiyuddin (Pertama) pada tahun 1186H/1772 M. Kira-kira 100 tahun kemudian, tepatnya pada 1289 H/1872 M barulah istilah 'Maharaja Imam' digunakan.

Maharaja Imam Kerajaan Sambas yang pertama ialah Maharaja Al-Imam Asy-SyeikhMuhammad Arif bin Nuruddin as-Sambasi yang dilantik oleh Sultan Muhammad Ali Shafiyuddin (Kedua). Sebelum itu, pada 1238 H/1823 M, beliau hanya digelar'Imam'. Disebabkan umurnya telah lanjut, beliau menyandang pangkat Maharaja Imam hanya setahun. Pada tahun 1290 H/1873 M, dilantik anak beliau bernama Syeikh Muhammad Imran bin Muhammad Arif as-Sambasi menggantikannya menjadi Maharaja Imam.

Terakhir sekali dilantik pula cucu Maharaja Imam yang pertama pada 1331 H/1913 Miaitu ialah Syeikh Muhammad Basiyuni Imran bin Maharaja Asy-Syeikh Muhammad Imran.

Serentak dengan perlantikan Syeikh Muhammad Arif bin Nuruddin as-Sambasi sebagai Maharaja Imam Sambas yang pertama pada tahun 1289 H/1872 M, pada waktu itulah dirasmikan pembangunan Masjid Jamik Sultan Sambas di persekitaran Istana di tepi sungai. Beberapa tahun selanjutnya dirangka pula pusat pendidikan Islam yang dinamakan 'Madrasah as-Sulthaniyah' yang terletak di sebelah kiriistana pimpinan pendidikan tersebut yang diketuai Haji Ahmad Fauzi bin SyeikhMuhammad Imran.

Beliau ini adalah adik-beradik Syeikh Muhammad Basiyuni Imran yang ketika perlantikan itu sedang belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir. Madrasahas-Sulthaniyah dibina bertujuan memberi pendidikan Islam secara mendalam sebagaipengkaderan golongan kerabat sultan, Maharaja Imam dan jalur-jalur yang beradadi bawahnya. Sejarah susunan pentadbiran pengurusan Islam dalam kerajaan Sambasbanyak dapat kita ketahui boleh dikatakan dalam masa hidup beliau. Kebanyakankedudukan penting dipegang oleh keluarga beliau.

Ulama Sambas yang diriwayatkan ini nama lengkapnya ialah Khathib Haji MuhammadJabir bin Haji Muhammad 'Arif Maharaja Imam bin Imam Nuruddin bin Imam Mushthafaas-Sambasi. Susunan nama ini dipetik daripada buku Cahaya Suluh Pada MenyatakanJumaat Kurang Daripada Empat Puluh oleh Maharaja Imam Syeikh Muhammad BasiyuniImran, cetakan Mathba'ah Al-Ikhwan, Singapura, 1340 H.

Kekeluargaan

Lebih kurang 200 tahun lamanya jabatan tertinggi dan yang penting tentang Islamdi Kerajaan Sambas dipegang oleh datuk nenek ulama ini hingga ke zaman beliau.Menjelang detik-detik akhir sebelum kemerdekaan Indonesia dan hapusnya KerajaanSambas, susunan pentadbiran Islam adalah ditangani oleh seorang 'Maharaja Imam'yang dilantik Syeikh Muhammad Basiyuni Imran. Beliau ini mendapat dua aliranpendidikan iaitu dalam pengajian Mekah dan berkelulusan Universiti Al-Azhar,Mesir.

Yang berpangkat 'Maharaja Imam' hanya seorang dan di atasnya ialah Sultan Sambassendiri. Di bawah 'Maharaja Imam' dilantik pula orang yang dinamakan 'ImamMaharaja' yang terdiri daripada beberapa orang. Semuanya dalam lingkunganterdekat keluarga ini.

Yang berpangkat Imam Maharaja ialah Haji Abdur Rahman Hamid. Beliau inimerupakan saudara sepupu dan ipar Maharaja Imam Syeikh Muhammad Basiyuni Imran.

Haji Muhammad Jabir (ulama yang diriwayatkan ini) juga berpangkat Imam Maharajasekali gus sebagai Imam Besar. Beliau ini adalah ayah saudara Maharaja ImamSyeikh Muhammad Basiyuni Imran. Keluarga rapat mereka pula ialah Haji MuhammadMursal, Haji Muhammad, Haji Murtadha dan Haji Muhammad Shiddiq. Semua merekamemegang jabatan Khatib Sidana dan Khatib. Selain memegang jabatan tinggi danpenting dalam Kerajaan Sambas, keturunan mereka memainkan peranan dalammemperjuangkan kemerdekaan Indonesia.

Bahkan setelah Indonesia merdeka, keluarga ini masih mendapat tempat dalammasyarakat sama ada di Sambas sendiri mahupun hingga di Jakarta.

Saya sempat bergaul rapat dengan beberapa orang keturunan keluarga ini. Antaramereka yang banyak memberikan bahan untuk penulisan ini ialah Muhammad HifniImran, pejuang kemerdekaan Indonesia. Beliau ini adalah adik Maharaja ImamSyeikh Muhammad Basiyuni Imran. Haji Hamdi Mursal, pejuang kemerdekaan dan tokohkorporat Melayu-Islam yang berjaya di Kalimantan Barat adalah anak Imam HajiMursal dan menantu Maharaja Imam Syeikh Muhammad Basiyuni Imran dan masih ramailagi.

Mengenai asal usul kerajaan Sambas, ia sudah diketahui oleh para sejarawan,tetapi saya belum menemui sesuatu tulisan tentang asal usul keluarga ulama yangdibicarakan ini. Tidak diketahui dari negeri mana mereka berasal.

Apakah mereka juga berasal dari Brunei ataupun dari Banjar, ataupun dari Pataniatau dari tempat-tempat lain. Walau bagaimanapun, pada tahun 1970, ketika sayamenaiki sampan menyelusuri Sungai Sambas selama berjam-jam, seorang yang telahtua menceritakan kepada saya tentang 'Keramat Lumbang' (sebuah tempat yangterkenal di Sambas).

Riwayat

Menurut beliau, nama sebenar Keramat Lumbang itu ialah Syeikh Abdul Jalilal-Fathani. Apabila saya mendengar riwayat tersebut saya langsung teringatbahawa ada orang meriwayatkan bahawa Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani pernahpergi ke Sambas. Kisah ini juga ditulis oleh Prof. Dr. Abdul Jalil Hassan dalamsalah satu keluaran Warta Jabatan Agama Johor.

Menurut beliau, ketika Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani berada di Sambas, diatinggal di rumah Sultan Muhammad Shafiyuddin di Kampung Parit Dalam Sambas dansempat menyelesaikan kitab Dhiya' al-Murid.

Saya cuba menjejaki keluarga ulama Sambas, dalam hal ini yang dinamakan keluarga'Imran Sambas, seperti yang tersebut di atas yang berkemungkinan ada hubung kaitdengan ulama Patani itu. Setakat ini ia masih belum tahkik.

Pada satu hari Jumaat, dalam Masjid Jamik Sultan Sambas, saya sempat mewawancaraMaharaja Imam Syeikh Muhammad Basiyuni Imran. Pada hari itulah setelahsembahyang Jumaat beliau mengajak orang bersembahyang ghaib. Kata beliau,"Marilah kita menghadiahkan sembahyang ghaib untuk Imam Pemangkat Tuan HajiHasan al-Fathani. Kerana dengan meninggal dunia Tuan Imam Haji Hasan al-Fathanibererti habislah ulama Pemangkat."

Daripada kalimat ini dapat diambil kesimpulan bahawa hingga tahun 1970, masihterdapat ulama di Sambas yang pada akhir namanya memakai istilah 'al-Fathani'.Daripada cerita ini, saya berfikir kemungkinan keluarga ulama Sambas yangdiriwayatkan ini ada kaitan dengan ulama-ulama Patani, namun dari sudut sistemsalasilah susur galurnya masih gagal ditemui.

Dari segi warna kulit dan perwatakan, banyak persamaan antara keluarga ulamaSambas dengan keluarga ulama Patani yang berasal dari Kerisik, Patani.

Pendidikan awal dan asas Muhammad Jabir dipercayai daripada ayahnya sendiri,Maharaja Imam Haji Muhammad Arif. Kemudian beliau melanjutkan pendidikan diMekah bersama beberapa orang dalam keluarga ini termasuk beberapa orang Sambaslainnya. Antara guru mereka di Mekah ialah Syeikh Abu Bakri Syatha, SyeikhMuhammad bin Ismail al-Fathani dan Syeikh Ahmad al-Fathani.

Muhammad Jabir dan kawan-kawannya yang berasal dari Sambas hanya mendapatpendidikan akhir di Mekah. Setelah semua mereka pulang ke Sambas, MuhammadBasiyuni Imran memperoleh kedudukan yang lebih tinggi walaupun beliau adalahanak saudara dan murid kepada Muhammad Jabir. Ada banyak faktor yang menyebabkanitu berlaku.

Kecerdasan

Ditinjau dari aspek pendidikan ketika itu, hanya Muhammad Basiyuni Imran seorangyang memperoleh dua sistem pendidikan, pendidikan di Mekah dan pendidikan diMesir. Ditinjau dari kecerdasan berfikir dan tangkas bergerak, Muhammad BasiyuniImran menurut riwayat memang agak lebih daripada yang lainnya.

Sungguhpun Khatib Haji Muhammad Jabir dan yang lain-lain masih tetap berpegangmenurut aliran tradisional (Kaum Tua) sedangkan anak saudara dan murid beliauSyeikh Muhammad Basiyuni Imran adalah murid Saiyid Rasyid Ridha serta dianggapseorang 'Kaum Muda', namun di Sambas tidak pernah terjadi ketegangan debat 'KaumTua' dan 'Kaum Muda' seperti yang terjadi di Minangkabau dan tempat-tempat lain.

Menurut riwayat, sungguhpun Syeikh Muhammad Basiyuni Imran mempunyai kedudukanyang paling tinggi dengan pangkat Maharaja Imam Sambas, namun beliau sangathormat dan menjaga supaya ayah saudaranya, Imam Haji Muhammad Jabir, tidaktersinggung atau kecil hati atas semua tindakan yang dijalankannya.

Selain itu, Syeikh Muhammad Basiyuni Imran juga sedar bahawa pengetahuantradisional telah diperoleh lebih awal daripada pendidikan 'tajdid' ataupembaharuan. Sungguhpun Syeikh Muhammad Basiyuni Imran seperti Syeikh TahirJalauddin mendapat pendidikan di Mesir, tetapi cara bergerak dan berfikir SyeikhTahir Jalaluddin menyebarkan pembaharuan tidak ditiru oleh Syeikh MuhammadBasiyuni Imran.

Nampaknya cara bijak yang digunakan oleh Syeikh Muhammad Nur al-Fathani lebihdiminati oleh beliau. Sungguhpun demikian Syeikh Muhammad Basiyuni Imran adapula caranya tersendiri. Kebijaksanaannya tidak lepas daripada pengamatan ayahsaudara beliau Imam Haji Muhammad Jabir.

Beliau juga sangat berhati-hati supaya anak saudara beliau itu tetap ada keserasian dengan beliau. Jadi kedua-duanya sangat menjaga tidak memulakan sesuatu persoalan mengakibatkan pihak lain jadi tersinggung. Bertemulah dua orang ulama yang bijak menghadapi pelbagai isu antara ayah saudara dengan anak saudara, walaupun dari satu segi ada kesepahaman, dari segi yang lain ada yangtidak disepakati. Akhirnya bertemu pada satu titik kedamaian bukan sebaliknya pada titik perdebatan atau pertengkaran atau perkelahian.

Pada pandangan saya, cara itu 'sungguh bijak' dan 'berakhlak mulia'. Ia sangat patut kita contohi dalam kita menghadapi kepelbagaian aliran pemikiran seperti pada zaman sekarang.

Setakat ini hanya sebuah karya Khathib Haji Muhammad Jabir yang diberi judul Risalah al-Hajji ditemui. Penulisannya selesai pada 12 Rabiulawal 1331 H. Beliau menggunakan nama Khathib Muhammad Jabir bin al-Marhum al-Imam asy-SyeikhMuhammad Arif Sambas dalam karya itu.

Dalam kalimat akhir risalah, beliau berkata: "Telah katamlah ini risalah yang kecil bicara haji dan umrah dan ziarah dengan ringkas (pendek) supaya mudahmenurut sebagaimana aturan yang kebanyakan dikerjakan oleh saudara-saudara Islamsebelah tanah Jawi dari mulai ia turun dari rumah ...."

Risalah haji karya ulama Sambas tersebut yang ada pada saya ialah cetakan yang kedua, dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, No. 50 Minto Road, Singapura pada 14Syawal 1343 H bersamaan 7 Mei 1925 M.

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

Info! Terima kasih telah membaca artikel kami yang berjudul: Muhammad Jabir As-Sambasi Khatib Sidana Kerajaan Sambas, jangan lupa + IKUTI website kami dan silahkan bagikan artikel ini jika menurut Anda bermanfaat. Simak artikel kami lainnya di Google News.
Artikel Terkait

Tentang penulis

elzeno
Pengalaman adalah Guru Terbaik. Oleh sebab itu, kita pasti bisa kalau kita terbiasa. Bukan karena kita luar biasa. Setinggi apa belajar kita, tidahlah menjadi jaminan kepuasan jiwa, yang paling utama seberapa besar kita memberi manfaat kepada sesam…

Posting Komentar